Monday, October 27, 2008

HAI-O unjur perolehan lepasi RM400j

Hai-O unjur perolehan lepasi RM400j
Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Hai-O Enterprise Bhd. (Hai-O) mengunjurkan perolehan lebih RM400 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2009 disokong oleh sumbangan daripada segmen jualan langsung pelbagai peringkat (MLM).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Kai Hee berkata, unjuran itu berdasarkan kekuatan rangkaian pengedarnya yang kini 70,000 orang menerusi MLM dan pengenalan produk baru.

Menurutnya, sebanyak 20 peratus daripada jumlah pengedar adalah aktif dan secara purata menyumbang jualan kira-kira RM25 juta kepada kumpulan.
''Kami yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan bilangan pengedar yang semakin meningkat dan menjangka pertumbuhan sehingga 2,000 ahli baru sebulan.

''Ketika berdepan dengan kelembapan ekonomi, ramai bumiputera akan menceburi dalam jualan langsung berserta bantuan daripada kerajaan, kami yakin segmen MLM akan terus berkembang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Kai Hee berkata, Hai-O akan memperkenalkan produk baru iaitu penjagaan kesihatan dan kosmetik kepada rangkaian produk yang sedia ada.
''Kira-kira 80 peratus pengedar terdiri daripada golongan wanita. Kami percaya produk baru itu bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada mereka," katanya.

Ujarnya, pada masa yang sama, mereka akan terus mengukuhkan jenama produk yang menjadi kekuatannya iaitu pakaian dalam pembentukan badan berteknologi inframerah Premium Beautiful dan sistem penapisan air Bio Aura.
Katanya, kedua-dua produk tersebut merangkumi lebih separuh daripada jualan yang disumbangkan oleh segmen MLM.

''Kami berjaya menjual sekurang-kurangnya 70,000 unit Bio Aura generasi kedua dalam setahun, sejak pelancarannya pada awal 2007," jelasnya.

Kedua-dua produk itu turut meraih anugerah Superbrands di bawah anak syarikatnya, Hai-O Marketing Sdn. Bhd. (Hai-O Marketing).

Menurut beliau, segmen MLM menyumbang 75 peratus kepada perolehan kumpulan.

''Pertumbuhan itu didorong oleh rangkaian produk berkualiti tinggi yang dijual pada harga berpatutan serta pengedar berkebolehan selain strategi pelan pemasaran agresif dan insentif pelancongan yang menarik ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya lebih ramai bumiputera menyertai syarikat ini untuk meningkatkan potensi diri mereka dalam bidang keusahawanan dan merebut peluang meraihkan pendapatan menarik.

Pada Ogos 2007, Hai-O Marketing dianugerahkan Penghargaan Khas oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berikutan sumbangan beliau melahirkan usahawan bumiputera di negara ini.

Tambahnya, Hai-O akan mengembangkan operasi di luar negara bermula dengan Indonesia untuk menembusi pasaran Islam di negara itu kerana semua produknya ditanggung halal.

''Kami menjangka jualan akan meningkat apabila operasi di Indonesia bermula dalam beberapa bulan lagi, tahun ini," ujarnya.

Kini, Hai-O Enterprise berada di kedudukan 10 teratas syarikat jualan langsung terbaik di negara ini.

Beliau berhasrat Hai-O akan menduduki tempat kedua dalam tempoh 10 tahun akan datang.

No comments: